Pages

Friday, November 18, 2016

Jom Singgah : Masjid Wilayah Persekutuan, KL

Salam Jumaat !

Sempena hari yang berkah ini, kita bersiaran secara maya di Masjid Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur yang tersergam indah di Jalan Duta ini.

Sebelum tu aku ada confession nak bagitau ni. Tak tau la, nanti mengundang hilai tawa bertingkat tingkat ke apa kalau aku bagitau yang aku dah banyak kali datang ke masjid ni. Banyak kali tu maksudnya lebih daripada 5 kali lah singgah solat etc semua, tapi aku tak pernah masuk dalam dewan solat utama masjid ni !

Kampung ke tak?

Tak kampung la kot, tapi bila aku fikir fikirkan sebenarnya aku missed untuk mendalami senibina indah yang sangat cantik dan boleh di banggakan dengan masjid ni sebab sebelum sebelum ni kalau aku datang aku cuma solat kat luar atau belah bawah je. Tak pernah terniat nak naik atas dan tengok bahagian sebenar masjid ni.

So memang agak ketinggalan lah aku ni kan?

Masjid Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur

Agak rugi rasanya sebab selama ni aku tak pernah nak ambik tau. Tapi kebetulan sekali tu berada di kawasan ni dan singgah untuk solat, baru tergerak nak naik atas dan kesimpulannya aku rasa sangat kagum dengan masjid ni.

Mungkin antara masjid paling lawa aku pernah jejak di bumi Malaysia ni kot.

Selalu aku usha dari luar jer.

Pembinaan Masjid Wilayah ini direalisasikan pada 25 Syawal 1416 Hijri bersamaan 15 Mac 1996 Masihi dan siap dibina pada 30 Ogos 2000 Masihi. Upacara serah milik kepada pihak Jabatan Agama Islam Wilayah (JAWI) pada September 2000 Masihi.

Masjid Wilayah Persekutuan terletak di sebuah kawasan berbukit Jalan Duta, berhampiran susur masuk ke pusat bandaraya Kuala Lumpur.  Masjid ini dinamakan Masjid Wilayah Persekutuan adalah sebuah masjid berkonsepkan 'masjid dalam taman' telah pun dibina. Ia menggunakan konsep tradisi masjid-masjid Othmaniah di Turki, 

Tapak binaannya berkeluasan kira-kira 13.4 hektar, iaitu di atas tapak bekas mahkamah dan pejabat kerajaan. Cadangan pembangunan Masjid Wilayah ini diilhamkan oleh Tun Dr. Mahathir ketika menjadi Perdana Menteri keempat. Ia merupakan projek Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JAWI) dan diiktiraf berstatus Masjid Negeri.

Usha dulu kawasan persekitaran dan sekeliling kawasan masjid ni.

Papan tanda dan laluan masuk ke kawasan masjid

Penunjuk arah

Landskap masjid

Bangunan pejabat kerajaan di Jalan Duta

Binaan binaan lain di kawasan persekitaran untuk kemudahan jemaah

Keindahan dan keunikan Masjid Wilayah ini terletak pada seni binanya yang berkonsepkan gaya zaman era Uthmaniyah di Turki pada abad ke-16. Walaupun seni bina begini dikatakan agak terbelakang, namun konsep tersebut amat popular pada kebanyakan bangunan masjid di seluruh dunia.

Rekabentuk senibina dan hiasan dalamanya pula adalah merupakan kombinasi rekabentuk tradisi Melayu Malaysia dan Timur Tengah. Ianya terletak berhampiran dengan Kompleks Kerajaan, Jalan Duta dan kini merupakan satu lagi mercu tanda di ibu negara.Masjid ini boleh menmpung seramai 17,000 orang jemaah pada satu-satu masa. Keluasan keseluruhan bangunan adalah kira-kira 47,000 meter persegi. Dilengkapi dengan pelbagai kemudahan,masjid ini merupakan antara masjid yang termoden di Malaysia pada masa kini.

Pintu masuk utama ke dewan solat

Sebab masjid ni besar, tanda arah amat la penting bagi mengelakkan kekeliruan dan salah arah tuju

Tempat wuduk di bahagian bawah bangunan masjid

Laluan ke dewan solat utama di bahagian atas.

Sebelum sebelum ni memang aku datang dan solat kat bahagian bawah je. Maybe sebab malas nak naik atas kot memandangkan masjid ni memang agak besar. 

Dan selama ni aku ingat masjid ni macam biasa biasa je, tapi sebenarnya rekaannya sangat menarik dan luar biasa ! ( bagi aku lah ).

Apa yang mengkagumkan aku, di bahagian atas sebenarnya ada kawasan lapang lagi yang luas untuk menampung jumlah jemaah sekiranya terlalu ramai

Rekaan sebegini seolah olah seperti kebanyakkan masjid masjid hebat di Esfahan dan Parsi

Tapi struktur masjid dan kubahnya lebih kepada senibina dari negara Turki

Kubah Masjid Wilayah terdiri daripada sebuah kubah utama bersaiz besar, tiga kubah separa, dua kubah menara dan 16 kubah kecil yang berada di atas ruang solat utama serta anjung-anjung masjid. Kubah utamanya bergaris pusat kira-kira 30 meter dengan ketinggian 45 meter dari aras lantai dewan solat utama. 

Binaan masjid serta laluan masuk ke dewan solat utama dengan kubah 3 separa menjadikan masjid ini sangat unik. Rekabentuknya seolah olah Masjid Biru di Turkey.


Menara masjid yang diilhamkan dari menara Masjid Nabawi di Madinah,

Bahan untuk binaan kubah terdiri daripada jenis exposy glassfire dan berkemasan jubin mozek yang menggunakan teknik bit-map.  Berwarna biru firuz, kubah ini dihiasi dengan hiasan reka bentuk lingkaran bunga dan dedaunan yang menjalar.

Ukiran yang halus dan unik boleh dilihat pada dinding kemasan batuan simen, manakala silingnya berturap simen telah dibentuk dan diukir mengikut acuan. Motif kebanyakan ukiran kayu yang menghiasi masjid ini berbentuk awan larat yang diambil daripada bentuk-bentuk lima jenis bunga harum seperti bunga tikam seladang (bunga mas), cempaka, kenanga, tanjung, melur serta daun yang menghijau seperti paku pakis.

Tulisan khat jenis Thuluth turut memainkan peranan penting dan amat bermakna sebagai hiasan kaligrafi kepada Masjid Wilayah ini. Ia diterapkan di tempat-tempat tertentu supaya mudah dihayati dan difahami terutama di gerbang pintu masuk.

Dengan ukiran seni tradisional tempatan pada pintu kayu

Dan motif bunga berwarna pada dinding dinding

Material yang digunakan pada hiasan dan tatahias luaran dan dalaman Masjid Wilayah ini berasaskan kayu dan batu. Ukiran-ukiran lebih bertumpu kepada komponen yang diperbuat daripada kayu seperti yang dapat dilihat pada pintu, tingkap dan sebahagian jeriji di dinding masjid. Pemidang di dewan solat wanita dan mimbar juga diperbuat daripada kayu yang telah diukir.

Kayu-kayu hiasan terdiri daripada jenis kayu cengal yang diukir oleh tukang-tukang mahir tempatan yang didatangkan dari Terengganu dan Kelantan. 

Jom usha belah dalam.

Dewan solat utama. Lampu candelier yang digantung pada sebelah dalam kubah utama pula berbentuk moden dan eksklusif. Keindahannya terserlah apabila semua lampu itu dipasang terutama pada waktu malam.

Kubah masjid dari arah dalam yang turut dihiasi dengan lampu-lampu yang mengeluarkan cahaya bergemerlapan. 

Menampilkan hasil seni yang sangat detail pada binaan dalamannya

Kubah masjid

Karpet yang empuk dan berbaldu dengan warna lembut dan motip berbunga menambah keserian dalaman

Ukiran batu pula dibuat pada pintu gerbang utama dan mihrab. Jenis batu yang digunakan terdiri daripada batu marmar Makarana. Pembuatan batu ini diselenggarakan di tiga pusat yang terletak di Agra, Jaipur dan Makarana di Rajestan, India. 

Penggunaan batu permata pelbagai jenis seperti batu lapisan lazuli, black onyx, malachite, red and golden jasper, mother of pearl dan tiger eye menjadikan Masjid Wilayah ini begitu istimewa. 

Batu-batu ini diukir oleh pengukir mahir di India dengan menggunakan konsep in lay daripada jenis batu permata dan dipasang di tapak binaan oleh pekerja-pekerja tempatan dan dikemaskinikan serta dihalusi oleh pekerja India.

Mimbar dengan ukiran tradisi seni kayu dan rekaan seni halus pada bahagian mihrab

Ukiran lain yang terdapat di dalam ruang masjid

Bahagian atas dewan solat utama dengan ciri ciri rekaan tersendiri

Memang aku kagum dengan Masjid Wilayah ni. Kecewa jugak sebab lama baru aku dapat melihat sendiri padahal punya lah dah banyak kali datang dan singgah solat di sini sebelum sebelum ni.

Nasib jugak la berpeluang. Tak de lah ralat dah.

Tu yang dah abis solat tu busy pulak nak ambik gambar dalam masjid ni. Excited nak share dengan orang sebab maybe ada jugak orang yang macam aku, datang tapi tak pernah nak jenguk ke dalam.

Tapi bukan aku sorang je yang terpana dan busy nak ambik gambar di sini ....... 

Princess aku pun bukan main lagi sibuk ambik gambar jugak. Ntah semua tempat dia snap. Memang anak Papa ni !

Masjid Wilayah ini dilengkapi dengan sekolah pendidikan Islam. Asrama, perpustakaan dan kemudahan bilik komputer turut disediakan. 

Selain kegiatan pembelajaran, aktiviti yang dilaksanakan ialah sambutan hari kebesaran Islam, ceramah, mesyuarat dan aktiviti kemasyarakatan yang disertai oleh semua golongan umat Islam. Masjid Wilayah ini menjadi antara tempat kunjungan wajib para pelancong dari dalam dan luar negara.

Memang dari luar pun nampak lawa, cuma tak pernah tergerak hati nak masuk ke dalam sebelum ni.

Bagi mengimbangi pembangunan dan mewujudkan suasana mesra kepada alam semula jadi, Masjid Wilayah dihiasi dengan seni lanskap yang terdiri daripada kepelbagaian jenis pepohonan termasuk pokok-pokok herba. 

Taman di masjid ini terbahagi kepada tiga, iaitu taman hutan, taman riadah dan taman perubatan.Taman-taman dan kolam buatan saling lengkap-melengkapi antara satu dengan yang lain sehingga menerbitkan suasana nyaman dan tenteram kepada para pengunjung masjid.

Dikelilingi dengan tasik buatan menambahkan ketenangan kawasan sekitar masjid ni

Dengan ikan ikan berenang riang

Lorong siar kaki yang disediakan di sekitar kolam ditaburi dengan batu-batu kecil dari sungai. Kolam air yang dilengkapi dengan tujuh pancutan halus dan air terjun buatan menambahkan lagi kelembutan dan ketenangan di situ. Kolam ini dilengkapi dengan bio-filter bagi menjaga kebersihan sepanjang masa.

View dari perkarangan

Walaupun aku mungkin yang terlewat untuk appreciate masjid yang gah dan indah seperti ini, tapi aku puas hati yang kunjungan kali ni membuka mata aku sendiri dan mengkagumi yang masjid Wilayah ini cukup indah dan setanding dengan masjid masjid utama dunia yang lain. Keindahan masjid juga merangkumi keselesaan kepada pengguna.

MASJID WILAYAH PERSEKUTUAN
Jalan Tuanku Abdul Halim (JALAN DUTA),
50480 KUALA LUMPUR.

Website : Masjid Wilayah
FB : Masjid Wilayah Persekutuan

So kalau berkesempatan jangan setakat singgah, ambik masa dan perhalusi binaan masjid ni. Masjid yang indah adalah masjid yang senibinanya dapat menyentuh rasa dalaman bagi jemaahnya memperoleh kedamaian, ketenteraman rohaniah dan kepuasan batin dalam beribadah kepada Yang Maha Kuasa. Keindahan sebenar sesebuah masjid adalah apabila setiap orang yang berada di dalamnya dapat merasakan keheningan dan keredupan suasana sehingga memberikan daya tarikan untuk senantiasa mengunjunginya untuk beribadah. 

Apa apa pun, masjid di bina bukan untuk dikagumi pada fizikal sahaja, tapi pada pengisiannya contohnya majlis ilmu. Masjid yang banyak majlis ilmu akan mendapat keberkatan dari-Nya. 



Dalam pekatnya malam aku terjaga
Dihimpit dosa tersimpuh ku menghadapMu
Inikah perasaan bila Kau menyapa
Baru ku sedari dari tidurku

Pantaskah aku ke sana tinggalkan semua
UntukMu

Hanya padaMu ku ingin kembali
Pintaku hanyalah ampunilah dosaku ini
Berilah daku keluasan kasih dan sayangMu
Jangan tinggalkanku sendiri
Ampunilah aku

Berapa banyak Kau beri tidak ku syukuri
Ku tetap berpaling menjauhiMu

Pantaskah aku ke sana tinggalkan semua
UntukMu

Hanya padaMu ku ingin kembali
Pintaku hanyalah ampunilah dosaku ini
Berilah daku keluasan kasih dan sayangMu
Jangan tinggalkanku sendiri
Ampunilah aku

Setiap nafas yang ku hela
Adalah dengan izinMu
Setiap rahmat yang Kau berikan
Takkan ku persiakan lagi

Hanya padaMu ku ingin kembali
Pintaku hanyalah ampunilah dosaku ini
Berilah daku keluasan kasih dan sayangMu
Jangan tinggalkanku sendiri
Ampunilah aku

14 comments:

  1. Masa aku keje tempat lama dulu selalu sembahyang jumaat kat sini...biasa aku akan masuk dalam dewan utama sebab sejuk hehe...mmg luas dan kadang ada imam yg suara mmg merdu dan sedap dan mendayu2.

    2 minggu sekali aku dtg sini bergilir sembahyang kat INTAN.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Eh aku dulu pun selalu solat jumaat kat Intan.

      Tapi skrg sejak intan Sarafina masuk GV. Aku solat kat masjid terdekat dgn aku time waktu solat jumaat tu.

      * lari..................

      Delete
  2. Cantik & mententeramkan. Tp dah bertahun xberkesempatan ke sini.

    ReplyDelete
  3. antara masjid yg cantik di KL..

    Hari Jumaat, ramai berniaga di sini, sedap2 makanannya..

    ReplyDelete
    Replies
    1. memang cantik !

      Yup... pernah gak makan beli kat gerai2 sini...banyak pilihan

      Delete
  4. Hebat !
    aku pun kalau solat tak pernah menjengah ke bahagian dalam, atas lagilah tak pernah jejak !

    ReplyDelete
    Replies
    1. Kan.....

      adakah.................

      kau dtg lambat ! dan blah awal?

      * hello hello betulkan microfon

      Delete
  5. Lama gila tak datang sini!
    Dulu kerja Plaza Damas cepat2 pergi untuk solat Jumaat sebab dalam ada aircond. Hahaha.

    Nice write up bro Meng!

    -Khai- http://kakijalans.com

    ReplyDelete
    Replies
    1. Tima kasih.

      Nanti ada masa kau pegi singgah masjid ni semula.

      Delete
  6. saya pon pernah sekali ja masuk.. tu pon time lawatan

    ReplyDelete
    Replies
    1. untung la ada lawatan. aku dulu lawatan sekolah gi muzium negara je. tu pun abis power dah rasa

      Delete
  7. tq byk membantu Assignment aku...nk kaji keistimewaan Masjid Wilayah ni...

    ReplyDelete