Pages

Tuesday, August 28, 2012

Trip GBS Langkawi - Mencari Dayang Bunting

"Bangun ! Bangun ! Dah pagi !"

Aku bukak mata. Dah cerah. Astaga. Tidur memang tak sedar apa. Aku ingat last tu aku tengok TV tapi tak tahu apa kisahnya, aku hanyut dulu.

Aku tidur satu katil dengan IH. CP satu katil dengan MH. BW tidur kat bawah beralasankan kain cadar. Biasa lah, dia memang selalu menjadi mangsa sebab dia tak aci tidur dengan kita orang. Boleh je kalau dia nak tidur, tapi kalau tersilap peluk, jangan mara......

Anyway, punya lah inzal tidur tak sedar apa. Aku tidur kepala kat kaki IH, IH tidur kepala dia kat kaki aku. Dari malam sampai ke pagi tak sedar diri.

"Semua orang dah mandi ke?"

* mengeliat macam kucing Parsi

Aku tanya. Masing masing tengah bersiap. Cuma ada CP je dalam bilik air. Aku tunggu turn lah. Bagus jugak bebudak ni, selagi toilet tak kosong dia orang tak kejut pun aku. Aku bangun tu, lepak kejap dan menghirup udara segar pantai sementara menantikan CP mandi.

CP mandi lama gila !

Kami ada aktiviti penting hari ni. Tu yang kena pantas bersiap.

Dan aku lah paling last bersiap. Siap pakai baju semua dan kami bersedia untuk check out bilik. Kami check out bilik terus sebab aktiviti kami nak join ni memakan masa. Tak sempat nak check out pukul 12 nanti.

Misi pagi nak breakfast gagal sebab aktiviti hampir berjalan.


Kami sebenarnya nak mengikuti rombongan Island Hopping !

Dah book dekat motel tu jugak semalam nya. Island Hopping ni adalah aktiviti wajib sebenarnya kalau ke Langkawi. Selama ni aku datang tak pernah aku buat, maklum la datang pun dulu dulu dengan rombongan sekolah, pastu datang dengan skandal masa muda remaja, mana nak thrill buat aktiviti adventureous ni...

Tak sempat breakfast pun, dah menunggu Van sebab kami akan di bawa ke jeti menaiki bot.

Harga pakej untuk 3 Island Hopping ni berbeza. Kena pandai pandai cari. Range dia biasa dalam RM30-35 satu orang tapi dekat motel kami duduk tu dia offer lagi murah. RM25 satu kepala. Tu yang kami terus ambik pakej kat situ je.

Kami menaiki van hingga ke Pantai Tengah di mana jetty menaiki bot terletak berhampiran dengan Awana Porto Malai tu.

Sampai je bot dan bersedia. Perut masih berkeroncong. Memang ramai orang dan banyak bot sedia menanti. Sementara menunggu giliran kami, aku ke gerai dulu dan beli nasik bungkus. Nasik lemak dan Nasik Minyak. Sorang sebungkus, beli roti dan juga air mineral sebotol sorang.

Perjalanan dari Pulau Langkawi ke destinasi pertama kami memakan masa selama 20 minit. Tempat hentian pertama adalah Pulau Beras Basah.

Pulau Beras Basah ni menjadi pilihan kerana pantainya yang bersih. Airnya yang tenang dan mendamaikan. Bot akan bawa kami ke sana dan tinggalkan kami di situ selama satu jam.

Aktiviti?

Tak de apa. Kami sampai, lepak dan makan makan. Bergambar sakan dan aktiviti berendam bermula. Yes ! Air dia sangat jernih. Mandi manda sangat menginzalkan. Mandi lah 5 manusia ni bersama manusia lain tanpa mempedulikan alam sekitar.

Memang best ! Puas mandi.



Cuaca pulak tak berapa panas terik. Mendung je. Tapi rasanya terbakar jugak kulit. Motip, aku nak kisah ke terbakar bakar kulit ni? Abang tetap hot walaupun rentung di mamah mentari.

Sambil mandi, sibuk jugak bergambar dan beraksi lucah. Menjadi model perfume. BW jadi Pamela Anderson dan aksi aksi lucah tanpa batasan.

Best. Tapi tetap tak sehebat mandi di Pantai Pasir Putih di Pulau Perhentian tu. Di sana, air dia lebih kristal. Tapi OK la, kat Pulau Beras Basah ni air dia lebih tenang.

Biasanya ada aktiviti pantai, tapi time tu tak de. Orang ramai yang datang berkunjung cuma ambik masa merehat dan mandi manda je.

Selesai mandi di Pulau Beras Basah, kami menaiki bot kami semula menuju ke destinasi ke dua. Pulau apa ntah. Tapi kali ni, tak singgah di pantai sebaliknya, singgah di tengah tengah laut bagi menyaksikan Helang di beri makan. Memang banyak burung helang terbang tinggi dan rendah. Berpusing pusing mencari makanan nya. Ada bot bot yang bagi dia makan kulit ayam sebab tu dia membiak dan bermastautin di situ agaknya.


Kami tak lama. Lepas tu kami terus ke destinasi seterusnya, Pulau Dayang Bunting !

Perjalanannya kira kira setengah jam. Di kiri kanan sepanjang perjalanan kelihatan berpuluh puluh pulau batu lain bertebaran di sekitar Pulau Langkawi ini.

Permandangan yang agak menakjubkan.

Ada sekali bot berhenti untuk memberi gambaran sebenar tentang Pulau Dayang Bunting.

"Tu kepala dia. Tu badan dia. Nampak perut dia buncit mengandung?"
"Tu tetek dia ke?"


Kami berborak sesama sendiri. Memang ada rupa seorang perempuan sedang berbaring dengan perut mengandung. Tak tahu lah, mungkin ada kebenaran, mungkin jugak tahyul dan sengaja di ada ada kan. Dah kebetulan bentuk pulau nya sebegitu.

Kami meneruskan lagi perjalanan dan kali ini, kami terus di bawa ke Pulau Dayang Bunting Geopark di mana di situ lah terletaknya, Tasik Dayang Bunting !

Bot meninggalkan kami sekali lagi di pulau tersebut dan kami di beri masa sejam lebih. Tips untuk sesiapa yang mahu ke sana. Pinjam life jacket dengan orang bot tu sebab kalau nak mandi kat tasik tu, tak de jacket payah. Kalau tak kena sewa lagi di sana. Nasib baik BW dan IH pernah pergi so mereka dah tahu.

Dari jetty kami terpaksa menapak menaiki bukit. Tapi ada tangga di sediakan. Lenguh jugak lah. CP dah awal awal surrender tak nak naik. Tapi kami yakinkan dia. Jalan slow slow menaiki bukit tersebut dan akhirnya terbentang luas sebuah tasik yang tenang lagi hijau.

Tasik Dayang Bunting !




Ini first time aku sampai, so aku agak excited. Selama ni tengok dalam TV dan magazine saja.

Ramai juga orang di sana mandi manda. Air dia tenang tetapi sangat dalam sebab tu memerlukan jacket keselamatan untuk mandi kecuali betul betul pandai berenang.

Yang tak bestnya, kat situ ada banyak monyet dan mereka menganggu. Dia orang nak makan je. Abis pringles kami di curi.

Sorang demi seorang mula terjun. Air tasik sangat tenang dan menyegarkan. Kami mandi berenang renang dan berendam dengan penuh keinzalan.

"Aku dah telan banyak ni, besok mengandung lah ni"

Kata kata yang di sambut dengan gelak ketawa bebudak GBS yang lain.

Ada part part lawak lah sebab kami mandi tepi platform, nak naik semula atas tu punya lah payah, terpaksa tolak tolak punggung. Punggung masing masing dah ler lebar. Jenuh pulak. Yang paling kuat gelak si CP lah.

Jadi bahan betul sampai orang kat tepi tepi tu pun tergelak sama tengok kami semua.

Ada kau orang ingat kami nak malu malu? Nehi !

Selamba je.

Abis mandi sejam lebih, kami mula berangkat semula ke jetty.

Mengah dan aku rasa kaki aku sakit sekarang ni pun sebab mendaki bukit tu lah. Tak de lah tinggi sangat tapi sebab kalau dah tak sporty... harus la badan berat nak daki. Lagipun tangga agak licin di sebab kan hujan turun sekali sekala. Tapi tu semua tak mematahkan semangat kami dan akhirnya sampai semula ke jetty dan bot telah menanti.

Bot boleh memuatkan lebih kurang 12 orang penumpang. Yang kami takjub, ada seorang lelaki ni pakai kaki palsu tapi dia tetap gigih ikut serta trip ni. Naik bukit, turun bukit, selamba je. Dia gigih lah. Bersemangat sungguh. Cuma kami je lah kena tunggu dia sebab dia slow sikit bab berjalan dan naik turun bot.



Dari Pulau Dayang Bunting kami kembali semula ke jetty di Tanjung Malai.

Masa nak datang tu, patut lah aku perasan ada orang snap snap gambar. Rupanya, dia orang curi gambar dan print pada pinggan sebagai cenderamata dan di jual setiap satu berharga RM10. Jadilah buat kenang kenangan.

Trip Island Hopping yang best sebab aku dapat lawat tempat baru dan tempat yang aku teringin jugak nak pergi.

Lepas tu kami di bawa pulang ke motel semula. Since kami dah check out, dah tak de bilik. Tapi barang barang semua dah simpan dalam kereta. Tapi di Motel tu ada di sediakan bilik untuk mandi dan bersalin.

Sebelum tu?

Hah ! Apa lagi. Alang alang dah mandi satu hari ni, kami sambung lagi mandi laut kat Pantai Cenang. Aku, MH dan BW berenang renang mandi dalam hujan. Seronok. Pantai dia lebih landai tapi air dia kurang jernih berbanding di Pulau Beras Basah.

Tapi tetap rasa teruja.



Lama jugak la kami mandi. IH join lambat sikit sebab dia sibuk dengan kamera. Sampai penuh memory card dalam tu punya lah bebudak ni bergambar sakan.

"Banana Boat?"

Jerit abang tu kat kita orang.

"Tak nak lah bang. Parasailing ada?"
"Hujan ni"
"Ohh OK"

Aku sambung mandi dan bergelak ketawa. CP tak join. Dari jauh kami nampak dia tunggu bawah pokok sedang melayan perasaan. Dia tak nak join tapi dia OK. Dia boleh duduk mengelamun dan bercakap kat telefon. Dia sangat busy selalu. Macam dia call satu dunia je rasanya. Manjang telefon berdering.

Tengah mandi dan beriang ria ketawa, tetiba abang tu datang semula.

"Nak payung terjun ke?"
"Ada ke?"
"Ada. Kalau nak saya call"
"OK"

Aku memang teringin dah lama nak parasailing. Dan sebenarnya salah satu misi aku nak buat dekat Langkawi ni adalah terbang di udara. IH kata ada kat Pulau Beras Basah tu, tapi masa kami pergi tak de pulak. May be di sebab kan cuaca kot.

So apa lagi. Tiba tiba pick up mereka sampai. Dah siap kelengkapan semua terus aku di pakaikan dengan peralatannya. Excited gila. Dah lah beg duit masa tu dalam kereta. CP jadi mangsa. Nasib dia tak mandi so dia pegang wallet dia. Pakai duit dia dulu.

Harga? RM60 satu trip.



IH pun nak jugak. MH dengan BW sah sah lah tak berani.

Excited gila.

"Abang lari je. Nanti nak turun bila kami tiup wisel abang tarik tali belah sini kuat kuat"

Aku akur mengikut arahan.

Teruja. Teruja. Teruja.

Dia memberi signal pada pemandu bot laju dan sepantas itu engine mula berderum dan tali di tarik, aku lari sekejap dan tiba tiba aku sudah mula terbang di udara.

Yes !
Yes !
Yes !

Aku suka.........................

Best dapat saksikan kawasan sekitar from bird view. Bot tu tarik terus menyusuri sekitar Pantai Cenang. Agak tinggi lah. Angin pun OK. Ada sekali masa bot nak pusing, payung tak bergerang so aku berada agak stalled di atas udara. Tengok kat bawah.. alamak batu dan hutan. Kalau jatuh ni, masak lah mati kering.

Tapi lepas tu OK. Bot tarik semula dan aku menghampiri kawasan tempat berlepas tadi sebelum aku dengan bunyi wisel dan membuat pendaratan dengan selamatnya.

Best lah.

Lepas aku turun, terus giliran IH pulak !

Sayup sayup aku nampak dia terbang di udara.

Akhirnya IH juga selamat mendarat.

Fun gila.





Lepas tu kami terus naik dan bilas. Bersiap siap untuk aktiviti seterusnya.

Kami makan dulu. Lepak kat satu gerai ni dan order makanan.

"Saya nak air nenas"

Aku order. Saja nak feeling feeling tropical.

"Abis lah kau ni keguguran, tadik dah minum air tasik Dayang Bunting, elok elok bunting makan nenas pulak"

MH mencelah dan mengundang gelak ketawa bebudak GBS yang lain.

Kelakar gila. Perut masing masing lapar. Makan pun rasa tak cukup. Tapi plan nak makan kat kedai lain.

Kami tinggalkan Pantai Cenang untuk ke destinasi seterusnya.

Mula mula kami singgah di Laman Padi. Di situ hanya aktiviti bergambar je. Padi dia lawa dan setting dia sangat desa. Bergelak ketawa lah kami semua melompat lompat penuh ceria dalam sawah padi yang terbentang luas sebegitu.

Lama jugak kami di situ. Akhirnya kami teruskan perjalanan semula.

"Aku nak cari minyak gamat, t shit dengan chocolate"

Tu permintaan CP. Dia memang nak gi shopping tak sabar sabar. Dalam waktu waktu yang ada ni, memang tu je plan kami pun. Dah tak de mahu ke mana mana.

Dari Pantai Cenang kami terus ke Padang Mat Sirat. Ingat nak cari barang kat situ tapi hujan mula turun dengan lebat. Lebat gila. Tapi kami singgah dan makan durian.

Ambik dua bijik durian. Yang pertama tu inzal gila. Isi kuning, manis dan lazat. Pastu tak cukup ambik yang ke dua. Tapi yang tu tak berapa best. Banyak gas. Kurang manis sikit.

Dalam hujan lebat, MH memandu kali ni dan kami terus ke Ulu Melaka.

Misinya. Mencari minyak gamat.

Berpusing pusing jugak akhirnya dapat jugak jumpa kedai gamat di situ dan masing masing shopping sikit sorang. Ada minyak urut lah, minyak balm lah, krim la. apa apa lah.. masing masing beli la. Aku pun beli jugak nak bagi mak dengan kakak kakak aku. Ada jugak untuk kegunaan sendiri.

Dari Ulu Melaka kami terus ke destinasi shopping ke dua.

Pegi kat kedai TSH sebelah Hotel Langkasuka. Orang kata cokelat di situ murah. Kami usha usha lah. Ada yang murah ada yang tak murah. Kedai cokelat semalam yang kami beli battery tu Kinder Bueno dia lagi murah. Beli satu dapat free satu lak tu.

Tapi shopping jugak kat situ. Pemenang shopping?

Mestilah CP. Dia beli cokelat saja abis dekat RM300 !

Pastu kami ke kedai lain pulak. Misi. Cari baju. Pemenang shopping? CP jugak ! Macam biasa beli untuk orang rumah, anak anak, adik adik, mak ayah, kakak kakak. Kalau boleh satu kampung dia nak beli. MH beli untuk kawan kawan.... untung sapa jadi kawan dia. MH kalau pegi mana mana mesti ada habuan. IH dengan BW beli cokelat untuk kawan kawan opis. Abang? Beli untuk diri sendiri saja.

* matilah gemuk makan cokelat !

Tak cukup dengan tu. Kami ke Pekan Kuah pulak. Masuk satu kedai ke satu kedai. Aku usha Corelle sebab LL4 suruh beli. Gila mahal. Tak mampu aku. Aku text dia suruh dia datang sendiri je lah nanti beli.

Pastu pegi kedai cokelat yang semalam tu. Carik kat situ. Memang agak murah tapi pilihan dia agak limited.

Shopping lagi bebudak ni kat situ.  Dari datang sorang satu beg. Sekarang semua dah ber beg beg dah.

Lepas abis shopping tu terasa lapar semula. Kami singgah makan kat kedai kat Pekan Kuah tu jugak. Makan ala kadar je sebab cepat cepat nak ke airport.

Kami terus ke airport. Hantar kereta dan sebab plastik banyak sangat membeli belah. Tepi tepi tu jugak kami punggah barang barang dan pack semula. Tak pedulik dah ni orang lalu lalang.

Masuk dalam airport masing masing lepak dulu dan semayang sampai lah panggilan masuk untuk boarding so kami check in dulu.

Nasib tak kena tahan dengan Kastam. Ngada ngada dia orang ni. Marah kami beli rokok. Macam macam lah keluar dalil dia untuk kami tak boleh beli rokok sebab menginap tak lebih pada 2 malam. Asyik nak cukai orang je. Lepas kat situ, pastu masuk gate ke dua.. kena tahan lagi. Aku blah je buat muka kekwat. Tension je aku tengok muka pekerja kastam ni. Cas bagus. Cakap pun macam nak cari salah orang.

Akhirnya selamat kami masuk ke balai berlepas.

Sementara menunggu nak naik flight, kami main UNO !

Main lah UNO sambil bergelak riang. Flight pulak delay satu jam. Isk !

Akhirnya panggilan masuk. Dia panggil hot seat dulu 1-5. Rupa rupanya kami punya seat nombor 5. Dah lah sebelum tu orang lain beratur bagai nak rak panjang panjang, kita orang selamba je main UNO sebelum realize kami tak payah beratur dan boleh naik ikut hot seat.

Terus je lah gelabah ambik beg dan jalan ke kapal terbang.

Sampai aku tertinggal jaket !

Dalam flight baru tersedar. Tak pe lah. Jacket tu murah je pun aku beli dah lama. Zip pun dah rosak.

Dalam flight aku duduk dengan CP. Dia orang duduk bertiga.

Flight take off je bebudak bertiga tu terus pengsan. Aku dengan CP siap makan lagi. Kami try Nasik Lemak dengan Nasik Beryani dia. Tak de lah best sangat pun tapi belasah jugak sampai habis.

Perjalanan dari Langkawi ke KLIA terasa sekejap sangat. Maklum lah aku pun dah lama tak naik kapal terbang yang kejap kejap ni, selalu naik long haul je. Belum apa apa dah sampai. But OK lah. Kami touched down kat LCCT jam 12.30 pagi.

Turun dari flight punya la jauh nak menapak ke balai ketibaan tu. Aku dah perasan BW turun lenggang kangkung sebab masa naik, aku bawak beg baju dia, dia bawak beg plastik cokelat aku tu. Bila turun dia kosong je.

Sampai kat balai ketibaan baru aku tanya mana plastik aku, dia kata CP bawak.  Sah sah CP bawak plastik dia ! Dah mula jadi kecoh.

Abislah beg cokelat aku tertinggal ke ilang ke. Dalam plastik tu ada cokelat dengan baju basah je. Tak lupa seluar dalam abang yang basah pun ada dalam tu.

Aku terpaksa patah balik masuk semula dan ke kaunter pertanyaan. Tanya dia orang, aku masuk semula ke tempat ruangan keluar tadi berbekalkan boarding pass yang ada. Ada lah security kat situ dan aku update dia cakap dengan dia. Lama jugak tunggu, then tak lama tu dia kata ada beg tu dalam flight.

Lama menunggu. Aku dah tak boleh ke flight so kena tunggu crew dia bawak turun. Lama baru lah ada. Lega.

Angin jugak lah sekejap.

Drive dari LCCT ke rumah. Panaskan engine, load barang dan hantar MH dulu. Pastu terus balik rumah aku.

Memang dah tak tahan mengantuk. Penat gila. Tu yang tersengguk sengguk esoknya keje.

Tapi sekali lagi, abang rasa ni antara short trip GBS paling best. May be lokasi yang menarik, mungkin jugak sebab semua GBS ada dan kami berkumpul bersuka ria dalam destinasi budget ini. Oh. Budget seorang RM270 termasuk flight tiket, hotel, makan, dan kereta. Shopping je bayar sendiri sendiri !

A wonderful vacation paradise!

Leaving such a beautiful place is the hardest. Thank you for the beauty, the fun-filled adventure, the sunshine, waves and lots of laughter!

TAMAT

4 comments: